Tuesday, 13 March 2018

Disiplin Sebagai Teras Kejayaan


  1. Disiplin diri merupakan pemangkin kejayaan pelajar dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah.

Bincangkan

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Yang saya hormati Pengacara Majlis. Tuan-tuan Panel Hakim yang sentiasa peka dengan misi keadilannya. Yang mulia, Tuan Pengetua dan seterusnya guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan yang dihormati sekalian.
Hadirin sekalian,
          Pada waktu ini saya sedang berdiri di hadapan saudara dan saudari. Hadirin sekalian begitu setia untuk menghayati setiap kata yang bakal saya titipkan. Kita bersama-sama menghayati suatu wadah keilmuan dalam suasana yang tenang dan harmoni. Peserta, masing-masing dapat berhujah dalam kapasiti dan kemampuan masing-masing. Soalannya, mengapakah kita mampu mewujudkan situasi yang sedemikian rupa? Semuanya terjawab dengan sendirinya kerana kita masih mempertahankan disiplin yang baik, saling membantu dan saling menyokong. Lantas, hadirin sekalian marilah bersama-sama saya kita lunasi suatu wacana yang bakal saya hidangkan kepada anda dengan maudhuk wacana saya, “Disiplin Teras Kejayaan”.
Hadirin sekalian,
          Disiplin Teras Kejayaan ialah rangkuman konsep yang menyatakan suatu sistem tatacara mengurus diri yang betul pasti menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan dan tindakan kita. Justeru, disiplin menjadi jurupandu untuk seseorang memperoleh kejayaan dalam mencapai sesuatu sama ada belajar, bekerja dan melunaskan rutin harian kita. Pesan orang tua-tua, “Mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, dan kata berpangkal”. Segala-galanya perlu melalui suatu proses dan sistem yang betul.
          Sejarah telah menjadi sumber rujukan yang paling penting kepada kita akan kejayaan tokoh-tokoh yang terkemuka. Kejayaan yang telah dikecapi oleh mereka adalah dengan berkat disiplin yang tinggi. Sama ada dalam bidang keilmuan atau kerjaya semuanya memerlukan disiplin. Lihatlah betapa sengsaranya Thomas Alva Edison dalam usahanya untuk menyumbangkan cahaya kepada alam sejagat.  Beliau memerlukan ketelitian dan disiplin yang amat tinggi. Begitulah tokoh-tokoh dalam bidang keilmuan seperti Socrates, Plato, Aristotle, Imam Al Ghazali, Imam Shafie dan sebagainya. Mereka bangkit sebagai personaliti dunia yang menyemarakkan budaya ilmu melalui disiplin yang tinggi.
Rakan-rakan sekalian,
          Ketika sedang mendaki tangga kejayaan, ingatlah tiada tonik lain yang lebih mujarab boleh membantu kita mencapai matlamat. Tanpa disiplin hasrat kita akan longlai, urusan kita tidak langsai, justeru impian kita akan berkecai. Kita akan kecundang di tengah-tengah medan perjuangan. Kita perlu bermuhasabah diri, memilih segala-gala yang baik dengan mengetepikan perkara-perkara yang dangkal. Uruslah diri anda, merancang masa dan mengurus personel yang baik. Kita perlu memiliki hala tuju yang betul, cita-cita yang jelas, dan sanggup menterjemahkan matlamat hidup dalam perancangan yang teliti. Inilah sumber orang-orang yang pasti berjaya.
          Ingatlah, untuk berjaya kita mesti merancang sistem belajar yang betul, rutin harian yang terancang, dan sentiasa meletakkan perkara-perkara yang positif sebagai keutamaan. Bayangkanlah! Tanpa disiplin, berapa banyakkah masa yang dibazirkan untuk menekan butang telefon semata-mata berceloteh dalam SMS? Tanpa disiplin, berapakah lama masa yang berlalu dengan hanya asyik berserakah dengan rakan-rakan? Semakin lama kita melayani perkara-perkara yang membazir, justeru semakin jauhlah kita dihanyutkan oleh ilusi tanpa realiti. Kita telah membazir masa dan usia, bak seratus tahun bah melanda kapar tetap tidak berlalu.
Saudara dan saudari, 
          Peribahasa menyatakan, meminta pada yang ada, bertanya pada yang tahu dan tuah jangan ditolak, rezeki harus dituntut. Masa dan peluang harus kita kejar. Demi menjadi insan yang berguna pada masa depan, uruslah disiplin dengan cara yang terbaik. Rujukan kita mesti kepada tokoh-tokoh yang telah berjaya. Merekalah yang menjadi idola kita. Gerak dan langkah mereka, cara berfirkir dan cara mereka merancang hidup hendaklah dijadikan panduan.  Mereka yang telah berjaya mungkin para pemimpin, para guru, malah rakan-rakan kita. Kita wajar memiliki perasaan cemburu terhadap kejayaan orang lain demi menyaingi mereka secara sihat.
          Setelah kita menyediakan strategi memburu kejayaan secara terancang, kita juga perlu berhati-hati kerana dalam setiap masa dan apa-apa keadaan pun pelbagai dugaan boleh mengancam konsentrasi. Oleh itu, jauhilah parasit dan pengaruh yang boleh merosakkan diri. Orang-orang yang tidak berdisiplin sentiasa berdamping dengan program-program yang tidak berfaedah. Berwaspadalah terhadap pengaruh hiburan yang berlebih-lebihan. Elakkan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak mempunyai maltlamat dan hilang jati diri. Elakkan diri terjebak dengan kegiatan negatif seperti melepak, berpelesiran, lumba haram dan seribu satu macam lagi angkara antimoral yang sedang menunggu untuk menjeratkan kita.
Rakan-rakan seperjuangan sekalian,
          Sesungguhnya peribahasa ingat sebelum kena, jimat sebelum habis benar-benar mendidik kita untuk mendisiplinkan diri. Tanpa disiplin tiada sekelumit pun kejayaan yang bakal diraih. Jikalau inginkan kejayaan, berpeganglah kepada falsafah, “Disiplin Teras Kejayaan”.
Sekian terima kasih.



No comments:

Post a Comment