Tuesday, 6 March 2018

Ciri-ciri remaja yang berwawasan.



Salah seorang tokoh falsafah Islam yang tersohor, Imam Al Ghazali pernah berkata, “Jikalau kamu mahu melihat negara pada masa hadapan, lihatlah kepada remajamu pada hari ini”. Kata-kata tersebut memberi inspirasi bahawa, peranan pemuda pemudi amatlah besar dalam menentukan corak dan masa depan negara. Merekalah yang akan menjadi penggerak tamadun dan mengambil alih tampuk kepimpinan negara yang akan diwariskan oleh para pemimpin pada hari ini. Watan tercinta ini akan cukup cerlang dan gemilang hasil cernaan minda dan citra anak-anak muda yang berwawasan. Bertepatan dengan kata-kata pujangga, “Kejayaan yang jauh beribu-ribu batu itu hendaklah bermula dengan langkah yang pertama”, membuktikan bahawa wawasan adalah amat penting sebagai prasyarat memajukan negara.  Sesungguhnya, sebagai anak muda, saya harus mengungguli ciri-ciri terpuji remaja yang berwawasan, berpandangan jauh realistik dan futuristik.
Menyedari amanah besar yang sedang menanti, para remaja perlu memperlengkap diri sebagai orang muda yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Hal yang demikian itu amatlah penting kerana sifat takwa akan membentuk diri sendiri agar lebih patuh kepada khaliq. Individu remaja hendaklah melaksanakan segala tuntutan agama dan meninggalkan segala larangan sebagai wahana melahirkan insan yang istiqamah dengan kualiti iman, amal dan akal budi. yakinlah bahawa insan yang bertakwa ialah modal insan yang berkualiti dan sentiasa bermotivasi untuk menjadi aset besar kepada negara. Tanpa iman, diri akan hilang pedoman malah menjadi manusia nanar umpama layang-layang yang terputus talinya. Oleh sebab itu, sifat takwa juga bakal mengajar insan akan erti perjuangan terhadap watan tercinta berdasarkan kata-kata dalam peribahasa Arab, “Kasih akan watan adalah sebahagian daripada iman”.
Untuk berhadapan dengan cabaran dunia tanpa sempadan, para remaja perlulah bersedia memperlengkap diri dengan pakej, fizikal, mental, emosi dan sahsiah yang sempurna. Semua pakej asas tersebut amatlah penting dalam hal membina jati diri remaja alaf baru. Tanpa ketahanan dan jati diri, remaja mudah tewas dalam mengharungi cabaran kerana usia yang masih muda ibarat darah baru setampuk pinang usia baru setahun jagung. Demi menyahut seruan negara, para remaja hendaklah mengikuti aura tokoh-tokoh hebat sama ada di peringkat antarabangsa mahupun tempatan. Ikon anak muda seperti Azizul Hasni, Muqarobin, Zaharif dan ramai lagi harus dicontohi. Sesungguhnya, azam dan tekad hendaklah diabadikan demi negara, bak kata peribahasa, gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan jasa.
Mantan Presiden Indonesia (Sukarno) pernah berkata, “Aku mampu goncangkan dunia ini dengan hanya sepuluh peria (pemuda) sebaliknya aku akan macet (gagal) walaupun diberikan seribu orang yang sudah tua”. Menyedari hakikat tersebut, sewaktu usia masih muda para remaja perlu memanfaatkannya sebagai persediaan untuk berdepan dengan pelbagai cabaran. Falsafah ‘songsang’ muda hanya sekali dan gunakanlah untuk berseronok adalah sekali-kali tidak sesuai kepada seseorang remaja yang berwawasan. Oleh sebab itu, beberapa prakarsa perlu diperkasakan seperti memperlengkap diri dengan ilmu pengetahuan, memacu kerjaya dengan kemahiran dan sentiasa kebal terhadap segala cabaran.  Para remaja perlu bangkit untuk mengangkat martabat negara ini agar setanding  dengan negara-negara maju yang lain seperti Luxembourg, Singapura, Jepun, dan Norway. Seandainya jati diri remaja di negara-negara maju mampu melonjakkan imej negara mereka, seyogia tiada apa-apa yang kurang kepada remaja Malaysia asalkan hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.
Mampu mengenali potensi yang dianugerahi Allah merupakan ciri remaja hebat. Sesungguhnya, Allah itu maha adil, menganugerahi hamba-Nya dengan pelbagai potensi dan kebolehan. Dalam hal ini, remaja harus sedar akan nasihat Nabi SAW bahawa, “Jadilah insan yang tangan di atas kerana tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah”. Oleh itu, ketika negara berada di ambang menjadi negara maju, potensi dalam bidang kemahiran dan profesional amatlah serasi untuk melahirkan remaja yang berwawasan. Bidang kemahiran seperti kejuruteraan, inovasi dan ICT wajib diperkasakan sebagai pelengkap kepada aspirasi negara. Tanpa kemahiran, anak-anak muda tunjang bangsa akan tersisih di bumi sendiri dengan saingan daripada 6.7 juta warga asing sedang memenuhi pasaran kerja di negara ini. Oleh itu, sedarlah dan jangan berpeluk tubuh kelak kita akan terjadi seperti tempelak peribahasa, ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.
Kesimpulannya, dalam merealisasikan sebuah negara bangsa yang berjaya, maka hakikatnya pemuda dan pemudilah yang menjadi taruhan. Jatuh bangun atau maju mundur sesebuah negara adalah terletak kepada sejauh mana ketahanan orang muda telah bersedia untuk menggalas amanah negara. Sebagai anak muda yang memiliki citra terhadap bangsa dan tanah air, bangunlah dengan azam untuk memajukan negara ini agar setanding dengan negara-negara maju yang lain. Oleh itu, ketika usia masih muda dan darah masih panas inilah masa untuk para remaja merealisasikan wawasan terhadap bumi yang dipijak dan langitnya dijunjung.


No comments:

Post a Comment