Thursday, 1 February 2018

Novel Pelari Muda

Sinopsis Keseluruhan
Cerita ini mengisahkan pengalaman watak utama iaitu Kamarul seorang pelajar tingkatan 5 yang berjaya dalam acara sukan olahraga. Beliau perah terpilih mewakili negara dalam kejohanan sukan SEA di Brunei. Kamarul terpilih untuk mewakili negara dalam kejohanan sukan SEA di Bangkok dua bulan lagi. Dia dilatih oleh Encik Kadir. Kejayaan ini telah menjadikan Kamarul dikenali ramai, disanjung dan popular. Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan  ini sikap Kamarul pada pandangan kawan-kawannya sudah berubah. Kamarul bersikap sombong, ego, menjauhkan diri daripada kawan-kawan, malah tidak berdisiplin menjalani latihan di bawah bimbingan Encik Kadir. Akibat sikapnya yang rendah moral itu, Kamarul ditegur oleh kawan baiknya Saridah. Teguran Saridah menjadi punca dia menyepikan diri daripada Saridah. Kamarul juga menunjukkan sikap tidak menghormati jurulatihnya. Teguran-teguran yang diberikan oleh Encik Kadir dibalas dengan jawapan dan tindakan yang tidak bermoral. Suatu hari, dalam perjalanan balik daripada latihan Kamarul dilanggar kereta. Dia dimasukkan ke hospital. Sepanjang berada di hospital, Encik Kadir dan Saridah tetap menziarahi Kamarul. Sikap bertanggungjawab Encik Kadir dan keprihatinan Saridah menjadikan titik mula Kamarul insaf dan berubah sikap. Setelah sembuh daripada kecederaan, Kamarul menjalani semula latihan di bawah bimbingan Encik Kadir. Hubungan Kamarul dengan Encik Kadir bertambah baik. Hasrat Kamarul untuk mewakili nergara telah direstui pihak sekolah.
Kamarul dan delegasi Malaysia berlepas ke Bangkok untuk menyertai kejohanan sukan SEA ke-14 di Bangkok. Di Bangkok, Kamarul mengambil kesempatan bertemu De Wega, atlit sukan lari Filipina yang terkenal. Berita tentang Kamarul sebagai atlit Malaysia tersiar dalam media massa di Bangkok. Dalam acara lari 100m dan 400m kejohanan tersebut Kamarul berjaya meraih pingat emas. Kejayaan Kamarul mendapat pujian dan ucapan daripada Encik Kadir dan rakan-rakan, termasuk rakan-rakan sekelasnya di Malaysia. Kamarul mengucapkan terima kasih atas bimbingan yang diberikan oleh Encik Kadir dan menjadi pendorong kejayaan. Kamarul terkejut dan terharu apabila Encik Kadir menyatakan hasrat untuk bersara. Setelah kejohanan Sukan SEA tamat, Kamarul dan delegasi Malaysia berangkat pulang ke Malaysia membawa kejayaan cemerlang untuk negara, sekolah dan untuk dirinya sendiri. Di lapangan terbang Kamarul telah disambut meriah dengan ucapan tahniah daripada ibu bapa dan rakan-rakannya.
Sinopsis Bab demi Bab
Bab 1
Setelah pulang berjoging Kamarul  menunjukkan sikap yang berbeza daripada biasa. Perubahan sikap Kamarul disedari ibunya Mak Jah. Mak Jah mengesyaki perubahan itu kerana pergaduhan dengan Saridah. Sangkaan Mak Jah itu benar, apabila Kamarul mengakui bahawa berlaku sedikit salah faham dengan Saridah.  Saridah menegur sikap Kamarul yang menjauhkan diri daripadanya dan juga kawan-kawan lain setelah Kamarul menjadi terkenal sebagai atlit sukan lumba lari 100 m di peringkat antarabangsa. Kamarul berasa resah mengenangkan pertengkaran yang berlaku itu dan mencari Saridah untuk memohon maaf.
Bab 2
Sures kecewa kerana Kamarul mungkir janji untuk hadir pada sesi latihan di Pusat Sukan Kampung Pandan.  Sikap Kamarul telah menimbulkan tanda tanya Sures. Encik Kadir selaku jurulatih pula risau dengan prestasi Kamarul. Latihan pada petang itu dijalankan seperti biasa.  Oleh sebab, Kamarul tidak hadir, acara 100 m terpaksa dibatalkan. Setelah tamat latihan, Sures pulang ke rumah. Sewaktu sampai di laman rumah, Saridah datang bertemu Sures bertanyakan tentang Kamarul. Sures pula musykil dengan punca masalah yang berlaku di antara Saridah dengan Kamarul. Walau bagaimanapun, Saridah berharap masalah yang dihadapinya tidak diperbesar-besarkan.
Bab 3
Saridah berada di perpustakaan dan berharap dapat berjumpa dengan Kamarul. Walau bagaimanapun, dia kecewa kerana Kamarul tidak muncul. Saridah berasa kecewa dan merasakan dirinya  dipersalahkan  atas sikap dingin Kamarul. Dalam keadaan sedih dan resah itu muncul kawan rapatnya, Juriah dan bertanya tentang masalah Saridah. Setelah diberitahu Saridah, Juriah meminta Saridah tidak terlalu memikirkan tentang Kamarul, sebaliknya percaya masih ada masa untuk Saridah memperbaiki persahabatannya dengan Kamarul. Saridah tidak terus pulang ke rumah walaupun loceng tamat persekolahan hari itu telah berbunyi, sebaliknya dia berseorangan di dalam bilik darjah memikirkan masalahnya dengan Kamarul. Saridah membuat keputusan untuk menulis surat kepada Kamarul. Juriah yang menjengok ke bilik itu terkejut mendapati Saridah belum pulang ke rumah. Kesempatan Juriah datang ke situ, Saridah meminta pertolongan Juriah untuk menyampaikan surat yang dituliskan itu kepada Kamarul
Bab 4
Mak Jah memerhatikan gelagat anaknya ketika Kamarul  hendak keluar berjoging. Mak Jah terbayang keresahan yang dialami Kamarul. Apabila Kamarul mula hendak pergi, Mak Jahpun  memberikan surat yang diterima kepada Kamarul. Kamarul pula berasa musykil tentang pengirim surat itu tetapi tidak dinyatakan oleh Mak Jah pengirimnya. Sambil berlari, Kamarul membaca surat yang diterima itu. Kamarul terkejut kerana surat itu datangnya daripada Saridah. Hatinya  terharu dengan kejujuran Saridah menulis. Kamarul terus berjoging masuk ke Stadium Merdeka. Melihat suasana stadium yang luas itu, Kamarul terbayang dirinya sedang beraksi dan penonton pula bersorak dengan bersemangat menjerit-jeritkan namanya. Khayalan Kamarul kemudiannya terganggu dan dia meraung sekuat hati ke dalam stadium dan kemudiannya berlari keluar dari stadium dengan perasaan sayu mengingatkan Saridah.
Bab 5
Saridah kecewa kerana Juriah yang ditunggu tidak datang pada masa yang dijanjikan. Dalam jemu menunggu Saridah teringat Kamarul yang juga tidak datang menemuinya di perpustakaan. Sewaktu menatap sekeping gambar dalam album di bilik rumahnya, Saridah teringat kenangan manis bertemu Kamarul sewaktu menyertai sukan MSSM di Stadium Merdeka. Kenangan itu amat menyentuh perasaan Saridah, kerana hubungan baik dengan Kamarul berpanjangan dari padang permainan ke bilik darjah  hingga ke rumah. Saridah teringat kemesraan ibu bapa Kamarul terhadapnya. Walau bagaimanapun, setelah Kamarul terkenal dan glamour sebagai atlit sukan, sikapnya terhadap Saridah mula berubah. Perubahan inilah yang membuatkan Saridah kecewa dan sedih.
Bab 6
Encik Kadir menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kemerosotan prestasi Kamarul. Manakala prestasi Sures kian cemerlang. Encik Kadir sangat bangga akan pencapaian prestasi Sures. Dia mahu semua pelatihnya mengatasi rekod terpantas yang dibuat oleh pelari sukan negara lain. Encik Kadir memanggil Kamarul bertanya tentang masalah yang dihadapi Kamarul, tetapi Kamarul tidak menceritakan masalahnya, sebaliknya menunjukkan respon yang angkuh terhadap Encik Kadir. Kamarul memberitahu bahawa dia boleh berlatih sendiri dan tidak perlu latihan daripada orang lain. Sikap Kamarul ini amat memeranjatkan Encik Kadir.
Bab 7
Kamarul melepaskan kemarahan kepada Encik Kadir setelah membaca kenyataan  Encik Kadir dalam akhbar. Sikap itu ditegur oleh Mak Jah. Pada ketika itu juga Kamarul menerima panggilan telefon daripada Saridah. Saridah menyatakan kemaafannya dan mendoakan kejayaan Kamarul di Bangkok nanti. Pada sebelah petang di sekolah, Saridah bertemu dengan Juriah.  Mereka berbual-bual di kantin begitu lama. Saidah meluahkan perasaan hatinya yang terpendam terhadap Kamarul untuk dikongsi bersama-sama dengan Juriah. Juriah memahami perasaan yang dialami Saridah dan memberi kata nasihat supaya Saridah lebih mengutamakan pelajaran. Setelah lama berbual-bual, merekapun pergi ke padang sekolah.
Bab 8
Kamarul dipanggil oleh Cikgu Zainal ke bilik guru. Sebelum keluar, berlaku sedikit perang mulut antara Kamarul dengan Adibah, Ketua Kelas apabila Kamarul cuba keluar kelas sebelum loceng berbunyi. Sikap angkuh Kamarul menimbulkan rasa tidak puas hati Adibah. Apabila loceng berbunyi, Kamarul terus pergi menemui Cikgu Zainal. Cikgu Zainal memberitahu bahawa Kamarul diberi kebenaran untuk bercuti bagi mewakili negara. Cikgu Zainal mengucapkan syabas kepada Kamarul dan menasihati Kamarul supaya memberi perhatian terhadap peperiksaan SPM di samping kegiatan sukan yang diceburinya.
Bab 9
Kamarul menjalani latihan seperti biasa bersama-sama dengan Sures dan rakan-rakan pelatih lain. Sures menunjukkan prestasi yang cemerlang, manakala Kamarul masih tidak berjaya mencapai rekod lamanya. Encik Kadir tidak berpuas hati dengan pencapaian Kamarul. Beliau menasihati Kamarul agar lebih serius dan berdisiplin menjalani latihan. Kamarul tidak menunjukkan sikap patuh, sebaliknya Kamarul berpendapat tanpa disiplin pun dia boleh berjaya. Encik Kadir memberikan sebutir pingat yang pernah dimenanginya sebagai pendorong Kamarul. Namun, Kamarul tidak mahu  menerima pingat itu dan bertindak melemparkannya di hadapan Encik Kadir. Encik Kadir terkejut dengan tindakan Kamarul. Dalam perjalanan pulang, Kamarul teringat-ingat perbuatan terhadap Encik Kadir.  Terbayang juga dalam ingatan akan sikap angkuh dan menyoal diri sendiri dengan sikapnya itu. Tanpa menoleh ke kiri dan kanan ketika melangkah menyeberangi jalan raya, Kamarul dilanggar sebuah kenderaan.
Bab 10
Kamarul dirawat di hospital kerana kecederaan yang dialami dengan ditemani ibunya Mak Jah. Saridah dan  Encik Kadir datang menziarahi Kamarul tetapi dia masih tidur di katil. Sebelum beredar Encik Kadir menenangkan Mak Jah dengan harapan kesihatan Kamarul segera pulih. Setelah sedar, Kamarul dapati Saridah ada di sisinya. Mereka bertanya khabar dan Saridah menyampaikan salam daripada Encik Kadir dan Sures. Dalam pada itu, Saridah masih berharap kesalahannya yang lalu dimaafkan Kamarul. Doktor memberitahu bahawa kecederaan Kamarul tidak serius dan boleh balik ke rumah. Kunjungan kawan-kawan ke hospital membuatkan Kamarul berasa terharu, terutama pada Saridah dan Encik Kadir. Kamarul mengelamun tentang sikap buruknya terhadap Encik Kadir, Cikgu Zainal, Saridah dan kawan-kawan yang lain. Timbul keinsafan dalam dirinya dan mula timbul keazaman untuk serius dalam latihan. Encik Kadir datang menyebabkan lamunan Kamarul terganggu. Encik Kadir memberitahu bahawa dia akan  membawa Kamarul balik ke rumah. Kamarul berasa terharu dengan keikhlasan Encik Kadir tetapi dalam masa yang sama dia ceria dan gembira kerana dapat keluar dari hospital.
Bab 11
Pihak KOAM mengeluarkan kenyataan akhbar meletakkan harapan yang tinggi pada Kamarul dalam sukan SEA di Bangkok. Kenyataan ini membuatkan Kamarul resah. Walau bagaimanapun, Kamarul telah bersedia untuk berlatih bersungguh-sungguh. Kedatangan Kamarul di pusat latihan menggembirakan Encik Kadir. Encik Kadir menguji kepantasan Kamarul, namun prestasi Kamarul masih tidak memuaskan hati Encik Kadir. Namun, Encik Kadir meyakinkan Kamarul bahawa prestasinya akan meningkat apabila kesihatannya kembali normal. Di rumah, Kamarul menilik gambar-gambar atlet sukan olahraga yang terkenal. Daripada situ, beliau berazam untuk membuat catatan terbaik sebagaimana tokoh-tokoh atlet yang berjaya itu.
Bab 12
Suasana di lapangan terbang sebelum Kamarul dan atlet lain berlepas ke Bangkok. Dalam keriuhan dan suara kawan-kawan yang memberi semangat, Kamarul masih tercari-cari Saridah yang masih tidak muncul. Keresahan Kamarul menjadi usikan kawan-kawannya Adibah dan Fazilah. Tidak lama kemudian Saridah sampai di situ dan disambut riang oleh Kamarul. Saridah dengan mesra mengucapkan selamat jalan dengan harapan semoga Kamarul berjaya.
Bab 13
Kontinjen Malaysia sampai di Bangkok. Kamarul dan Sures tinggal sebilik. Mereka seronok kerana inilah kali pertama mereka ke Bangkok. Kamarul masih dilanda perasaan muram kerana bimbang akan kecergasannya yang belum mencapai tahap terbaik. Walau bagaimanapun, ia ditenangkan oleh Sures dengan kata-kata semangat dan keyakinan untuk berjaya. Kamarul dan atlet lain menjalani latihan kepantasan di gimnasium A. Seusai latihan Kamarul mencari De Wega, atlit Filipina yang diminatinya. Pertemuan dengan De Wega amat mengembirakan Kamarul. Mereka berkenalan dan berbual panjang tentang publisiti De Wega, tentang semangat kesukanan, disiplin dan pengalaman diri. Banyak maklumat yang diperoleh oleh Kamarul daripada De Wega dan banyak pula pengajaran yang meningkatkan semangatnya. Kamarul berasa gembira dengan pertemuan itu dan semangatnya untuk berjaya semakin berkobar-kobar.
Bab 14
Berita tentang Kamarul muncul dalam televisyen dan akhbar di Bangkok. Kamarul terkejut mendengar hal itu apabila diberitahu oleh Abdul Rahman. Pada sebelah petang berlangsung upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Ke-14. Kamarul dan Sures menyertai perbarisan  kontingen Malaysia. Pertandingan acara bermula selepas itu. Pada hari pertama, Malaysia telah memenangi beberapa pingat emas, perak dan gangsa. Encik Kadir dan penolong jurulatihnya memberi perangsang dan semangat kepada Kamarul dan atlit Malaysia yang lain. Encik Kadir memberikan Kamarul sebutir pingat emas yang pernah dimenanginya sebagai perangsang Kamarul. Kamarul menerima dan mengikatnya di pinggang. Acara 100m bermula. Kamarul berjaya meraih kejayaan menewaskan peserta lain termasuk atlit Filipina, De Wega yang diminatinya. Pada sebelah petang, Kamarul memenangi satu lagi pingat emas menerusi acara 400m. Kejayaan Kamarul mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada rakan-rakan atlit dan pegawai-pegawai, termasuk ucapan tahniah daripada rakan-rakan di Malaysia terutamanya Saridah. Encik Kadir berasa puas dengan kejayaan Kamarul. Kamarul terkejut apabila Encik Kadir memberitahu cadangannya untuk bersara selepas kejohanan sukan ini. Kamarul terharu dan terkilan apabila diberitahu Encik Kadir sepatutnya bersara pada tahun ini tetapi menangguhkannya demi kejayaan sukan SEA ini.
Bab 15
Kejohanan Sukan SEA Ke-14 di Bangkok telah berakhir. Malaysia menduduki tepat kedua. Di hotel penginapan, Kamarul dikunjungi De Wega.  De Wega mengucapkan tahniah kepada Kamarul. De Wega memberi nasihat  dan kata perangsang kepada Kamarul. Kemudian Kamarul memberikan cenderamata kepada De Wega sebagai kenang-kenangan. Demikian juga De Wega turut memberikan cenderamata berupa sebutir pingat emas yang pernah dimenangi dalam sukan SEA di Brunei kepada Kamarul. Penerbangan pulang atlit Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Subang Kuala Lumpur dan disambut meriah oleh emak, ayah,kakak, Saridah dan beberapa orang kawan-kawannya. Semua mengucapkan tahniah atas kejayaan Kamarul.
Tema
Cerita dalam novel ini membawa tema keinsafan yang membawa kajayaan.
Moral menjadi isu utama yang dibebankan pada watak Kamarul. Kejayaan menjadi atelit sukan olahraga yang terkenal di peringkat sukan SEA di Brunei telah merubah sikap Kamarul menjadi seorang yang rendah moralnya, kerana bersikap angkuh, sombong dan ego dengan kawan-kawan, bersikap tidak sopan dan biadap terhadap jurulatihnya Encik Kadir, melawan cakap dan bersikap tidak mengenang berbudi. Walau bagaimanapun, kemalangan telah menjadikan Kamarul insaf. Keinsafan adalah titik yang merubah sikap buruk Kamarul kepada sikap yang baik dan bermoral. Dengan moral yang baik itu juga Kamarul kembali bersemangat berusaha untuk berjaya dalam pertandingan dan akhirnya dia berjaya mencapai cita-cita membawa kejayaan dalam sukan SEA di Bangkok. Keinsafan menjadi asas kejayaan dan sokongan padu jurulatih serta kawan-kawannya.
Persoalan
Terdapat beberapa persoalan dalam novel ini, antaranya :
i.      Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anak
Contoh: Mak Jah menyayangi anaknya Kamarul dan sentiasa mengambil berat terhadap segala masalah anaknya.
ii.    Persoalan tekanan perasaan yang dihadapi oleh remaja akibat persaingan dan harapan tinggi yang dipertaruhkan kepadanya
Contoh: Tekanan perasaan yang dihadapi oleh Kamarul akibat persaingan dengan Sures yang lebih cemerlang daripadanya dan harapan tinggi yang dipertaruhkan kepadanya.
iii.   Persoalan kepentingan ilmu pengetahuan untuk masa depan
Contoh: Juriah mengingatkan Saridah tentang peperiksaan SPM lebih penting daripada mengingati Kamarul.
iv.   Persoalan persahabatan dalam kalangan remaja
Contoh: Gambaran persahabatan erat Saridah dengan Juriah.
v.    Dunia kehidupan pelajar
Contoh: Gambaran suasana pelajar-pelajar tingatan 5 di sebuah sekolah.
vi.   Persoalan kepentingan menjaga disiplin
Contoh: Mereka berkenalan dan berbual-bual tentang publisiti De Wega, tentang semangat kesukanan, disiplin dan pengalaman diri.
vii.Persoalan kepentingan sukan untuk sekolah dan negara
Contoh: Kepentingan sukan untuk menaikkan imej sekolah dan negara. Kamarul dan delegasi Malaysia ke Bangkok dan Kamarul berjaya dalam acara 100m dan 400m.




Forwarded from  http://www.bmspm.my/v1/index.php/en/nota-novel-tg1-2015-2020/nota-novel-pelari-muda

No comments:

Post a Comment