Berdasarkan kajian saintifik telah
menunjukkan bahawa, manusia boleh hidup hingga lapan hari jikalau tanpa
makanan, sebaliknya manusia akan mati dalam tempoh 48 jam jikalau tiada air.
Hal demikian terbukti kerana berdasarkan sistem biologi manusia pun, air
terdiri 80 peratus daripada keseluruhan berat badan seseorang manusia. Selain
itu, air turut dikaitkan dengan nilai-nilai sentimental dalam kehidupan seperti
keindahan sungai, lautan yang terhampar malahan di dalam syurga juga sentasa
dikaitkan dengan air yakni keenakan air telaga Kautsar. Sekalipun air telah
terbukti amat penting dalam tamadun manusia, namun belakangan ini manusia
semakin jahil akan kepentingan air. Di mana-mana jua sungai kian tercemar,
permukaan laut semakin kotor dan krisis bekalan air dijangka akan berlaku dalam
tempoh satu abad dari sekarang. Alangkah jahilnya manusia apabila sumber yang
teramat penting kepada kehidupan telah dirosakkan kerana sikap rakus atau tiada
kepedulian. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum kudis menjadi
tokak, eloklah masyarakat hari ini diberikan pendidikan untuk menghargai sumber
warisan iaitu air.
Pendidikan ialah aspek yang paling
prima untuk mendidik masyarakat menghargai air. Mereka perlu dididik untuk
mengenali pencipta (khaliq). Manusia yang mengenali Tuhan sudah pasti tahu
bersyukur. Inilah nilai murni yang perlu dipegang kukuh sejajar dengan maksud
Firman Allah, “Bersyukurlah! Andai kamu
bersyukur nescaya aku tambahi nikmatmu dan sebaliknya apabila engkau kufur
nescaya azab-Ku terhadapmu teramatlah pedih”. Belakangan ini akibat
terbebat dengan tabiat tidak tahu
bersyukur, manusia tidak pernah tahu bahawa nikmat Allah yang amat
berharga itu telah dicemari. Manusia telah hilang pertimbangan dan budi bicara
dan sombong akibat tidak takut akan musibah dan jauh sekali mengenali akan dosa
dan pahala.
Generasi yang paling awal yang harus
menerima pendidikan agar menghargai sumber alam ialah generasi kanak-kanak.
Seawal usia setahun anak-anak harus dididik untuk menghargai harta benda.
Pendidikan yang paling teras adalah yang bermula di rumah. Asas pendidikan yang
kukuh hendaklah dimantapkan di sekolah. Para guru dengan segala kebijaksanaan
haruslah menanamkan nilai-nilai murni seperti bersyukur, berkasih sayang dan
jimat cermat agar generasi pelajar tahu akan nilai anugerah alam khususnya air.
Pelbagai program mencintai alam sekitar boleh dimasukkan ke dalam program luar sekolah
dan aktiviti kokurikulum. Apabila pelajar sentiasa mesra kepada alam sekitar
nescaya mereka teruja untuk menjaganya. Sesungguhnya, inilah generasi yang
diharapkan dapat memulihkan semula segala sumber alam yang semakin tercemar
terutama sekali sumber air.
Golongan sasar yang lebih penting
ialah masyarakat umum. Golongan ini perlu diajak bersama-sama untuk menyedari
betapa air amatlah penting kepada kesinambungan nyawa rakyat Malaysia. Krisis
air dan kegiatan merosakkan sumbernya banyak dilakukan oleh golongan ini.
Kalangan peniaga dan industri merosakkan sumber air dengan cara mengalirkan
bahan-bahan sisa industri ke dalam sungai. Selain itu, masyarakat awam pula
masih banyak yang tiada kesedaran tentang kebersihan alam sekitar. Mereka
mencampakkan sampah dengan sesuka hati dan termasuk melupuskannya ke dalam
sungai. Tanpa kesedaran yang mendalam daripada kelompok sasar ini, seharusnya
kelestarian air bersih pasti akan terancam. Oleh itu, sistem pendidikan, kempen dan tindakan tegas
hendaklah dilaksanakan secara berterusan untuk berdepan dengan kelompok sasar
ini.
Inisiatif yang seterusnya ialah
tindakan proaktif daripada pihak kerajaan. Pelbagai prakarsa harus dijalankan
oleh pihak berkuasa sebagai respon kepada pelbagai amaran tentang krisis air
yang bakal dihadapi. Barangkali masa telah tiba untuk Malaysia bertindak
menjadikan sungai-sungai di negara ini sebagai produk pelancongan seperti yang
terdapat di negara-negara maju. Kegiatan perniagaan yang mesra sungai seperti
di San Francisco Waterfront, North Vancouver Waterfront dan Auckland Waterfront
harus dicontohi. Sementara itu, inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan
negeri Melaka yang mewujudkan River Cruise sebagai produk pelancongan hendaklah
diambil iktibar oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain juga. Ingatlah pelbagai
usaha boleh dijalankan selagi ada ikhtiar kerana akal tidak sekali tiba ikhtiar tidak sekali datang.
Konklusinya, semua isi alam yang
dianugerahi Allah adalah untuk manfaat manusia yang bijak menghargainya.
Alangkah jahilnya kita apabila sumber alam yang kaya dimusnahkan begitu sahaja
sehingga kita berhadapan dengan masa depan yang kabur. Janganlah disebabkan
mengejar keuntungan peribadi untuk jangka pendek kita mengaburkan masa depan
generasi akan datang. Fahamilah akan amaran Allah dalam sepotong ayat al Quran,
Surah Ar Rom yang bermaksud, “Segala
kerosakan yang berlaku sama ada di laut mahupun di darat adalah akibat
perbuatan tangan manusia yang durjana”.
No comments:
Post a Comment