Tragedi
haruan makan anak, kanak-kanak mati didera oleh ibu atau ayah kandung dan
anak-anak yang terbiar terlantar bukan lagi isu asing di negara ini.
Kisah-kisah sadis ini sering menjadi ‘hiasan’ muka depan akhbar arus perdana
dan seolah-olah tiada penghujung. Sebak dada apabila melihat anak kecil
terbujur kaku dek perbuatan manusia yang bertopengkan syaitan. Ironi sungguh,
anak-anak yang sepatutnya menjadi permata hati akhirnya terpaksa berdepan
dengan kehidupan yang amat menyeksakan.
Semua fenomena tersebut telah memusibahkan pelbagai impak negatif jangka
panjang apabila anak-anak mula membawa diri dan terdedah kepada kebejatan moral
seperti pergaulan bebas, vandalisme dan lari dari rumah. Semua fenomena ini
ibarat sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan, justeru institusi
keluarga hendaklah kembali ke landasan asal mengambil tanggungjawab menangani
masalah sosial yang semakin membarah kini.
Institusi
keluarga yang ditunjangi oleh ibu dan ayah sudah sewajarnya kembali kepada
fitrah bahawa jodoh pertemuan mereka adalah berpaksikan kasih sayang. Kasih
sayang ialah sifat bagi Rabb yang dipinjamkan kepada manusia agar manusia dapat
merasai sebuah kehidupan bagaikan di syurga. Daripada adunan kasih sayang
itulah lahirnya zuriat. Sedarlah bahawa zuriat ialah darah dan daging sendiri,
masakan boleh diapa-apakan. Seandainya fitrah ini bertunjang kukuh di dalam
hati nurani, justeru nikmatnya akan melimpah kepada anak-anak. Betapakah akan berlaku
krisis anak lari dari rumah, bergelandangan dan memilih rakan yang salah
sekiranya fitrah nurani fizikal, mental dan emosi mereka mendapat belaian yang
cukup daripada ibu bapa? Jawapannya, anak-anak seperti ini akan sempurna dan
seimbang sahsiah mereka. Sesungguhnya, ingatlah kepada kata-kata Imam Al
Ghazali bahawa, “Anak-anak yang diajar erti berkasih sayang sentiasa belajar
untuk memaafkan orang lain”.
Amalan
nilai murni dan segala sifat mahmudah yang ditunjukkan oleh para Nabi dan
golongan soleh elok dijadikan garis panduan dalam kehidupan berkeluarga.
Hamparan kasih sayang, raut belai, nasihat dan hemah dalam berbicara amat
penting diamalkan oleh setiap ahli keluarga. Semua elemen ini harus dipelopori
oleh ibu bapa agar terbentuk iklim mawaddah dalam keluarga. Anak-anak akan
berasa mereka benar-benar disayangi dan sebagai balas tidak tergamak untuk
menconteng arang ke muka ibu bapa. Dalam kalangan abang dan kakak tanami mereka
perasaan bertanggungjawab supaya cakna terhadap adik-adik. Inilah yang dikatakan
keluarga dalam iklim ‘Rumahku Syurgaku’. Dapatkah kita bayangkan, apakah
mungkin akan berlaku kepada seseorang anak untuk lari membawa diri seandainya
dari kecil merasai kehidupan di dalam rumah tangga bagaikan syurga? Oleh itu,
penyelesaian yang telah ditunjukkan dalam kaedah mendidik anak-anak yang
berpaksikan agama dan moral hendaklah dijadikan pedoman kerana air yang jernih
di hulu, justeru di muara pun tetap jernih.
Keredaan
juga harus dicari dalam perkara berkaitan dengan rezeki, makan minum dan semua
perkara dalam rumah tangga. Tanpa membezakan mana-mana agama mahupun budaya,
tiada suatu pun kepercayaan, bahawa sesuatu yang bermula dengan yang haram
boleh menatijahkan kebaikan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sangat
tegas dalam perkara haram dan halal yang dibatasi oleh agama. Memetik kata-kata
dalam Firman Allah, yang mafhumnya, “Barang sesuatu pada tubuhnya yang tumbuh
daripada sumber yang haram, maka yang lebih utama kepadanya ialah api neraka”.
Inilah terminologi utama yang menentukan kelahiran zuriat sama ada membawa
rahmat atau musibah. Perkara-perkara yang haram dan syubhah apabila menjadi kebiasaan
dalam rumah tangga sudah tentu akan menjadi virus untuk merosakkan minda dan
akhlak anak-anak. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah berwaspada terhadap unsur
halal dan haram, ibarat adat bersendi hukum, hukum bersendikan kitabullah.
Dalam
abad milenium ini juga, ibu bapa haruslah lebih peka terhadap perubahan massa.
Ibu bapa hendaklah celik maklumat, celik teknologi dan sensitif terhadap segala
perubahan sosial. Keengganan sesetengah ibu bapa untuk bersama-sama anak-anak
meneroka perubahan semasa pasti akan terbina jurang yang dalam antara mereka.
Kedapatan ayah yang terlalu angkuh dengan status quo mereka seolah-olah
anak-anak tidak mengetahui apa-apa. Seandainya perkara ini terjadi yakinlah
bahawa tidak lama kemudian ibu atau bapa akan menjadi mangsa penipuan oleh
anak-anak sendiri. Ibu bapa pada zaman ini perlu mengiktiraf anak-anak terlalu
pantas menguasai teknologi, justeru mereka perlu didekati, dibimbing dan
berkongsi maklumat secara sihat. Isu-isu pergaulan bebas, sumbang mahram dan
haruan makan anak kerap terjadi apabila ibu bapa jahil akan perkembangan
maklumat digital dan ICT. Unsur-unsur pornografi, seks bebas dan bersekedudukan
boleh diakseskan dengan begitu meluas hanya melalui akses telefon pintar. Oleh
itu, pantaulah anak-anak dengan cara mendekati mereka dan ingatlah akan pesan
Rasulullah, “Bahawa zaman anak-anak bukan zamanmu”.
Selain
itu, ibu bapa dan seluruh ahli keluarga terdekat haruslah bersinergi dalam memantau kelibat
anak-anak. Keluarga yang dimaksudkan bukan sekadar keluarga nukleus, sebaliknya
meliputi keluarga luas yang ada hubungan kerabat dan darah daging. Situasi pada
hari ini amatlah ironi apabila dalam keluarga sendiri pun wujud jurang seperti
tidak bertegur sapa dan mementingkan diri sendiri. Sepatutnya dalam kalangan
ibu bapa tidak boleh terlalu eksklusif bahawa anak-anak mereka tidak boleh
disentuh oleh mana-mana pihak hatta ibu atau bapa saudara sekalipun. Inilah
malapetaka yang sedang melanda institusi keluaga abad moden apabila pengaruh
kebendaan terlalu menguasai kehidupan. Masing-masing percaya dengan kebendaan
mereka tidak perlu saling bergantung kerana semua keperluaan sudah tersedia.
Sayang seribu kali sayang, material bukan penyelamat kepada anak-anak. Akhirnya
berlakulah krisis anak-anak yang biadab,
pembawa onar dan vandalisme apabila mereka berasa bebas di belakang ibu atau
bapa. Sesungguhnya, jalan penyelesaian yang terbaik kembalilah kepada adat
lama, anak orang anak kita, anak kita anak kita jugalah.
Intihanya,
semua pihak haruslah berpegang kepada kata-kata, keluarga sebagai teras
masyarakat. Apabila keluarga pincang maka rosaklah masyarakat. Dalam dunia yang
semakin kompleks, kesepaduan dalam kalangan ahli keluarga akan menyelamatkan
anak-anak daripada terjatuh ke dalam jurang kebejatan sosial. Sesungguhnya,
pembinaan sebuah keluarga sakinah memerlukan komitmen yang tinggi berdasarkan
adunan ilmu, iman, akhlak dan sosial yang harmoni. Ingatlah akan pesan Nabi SAW
bahawa, “Anak yang dilahirkan itu adalah fitrah, bergantunglah kepada ibu bapa
yang mencorakkan mereka sama ada menjadi Majusi atau Nasrani”.
No comments:
Post a Comment