CONTENTS

Friday, 16 February 2018

Novel Sejambak Bakti

Sinopsis Keseluruhan
       Permulaan cerita menggambarkan keadaan fizikal Sekolah Menengah Seri Kayangan yang disimbah cahaya matahari pagi yang segar dan nyaman. Empat buah bangunan yang bercat kuning tersergam indah di dalam kawasan yang dihiasi dengan beraneka jenis pokok bunga. Sebuah bangunan satu tingkat terletak berhampiran dengan padang merupakan Kedai Koperasi Sekolah Menengah Seri Kayangan. Tuan pengetua, Cikgu Syamsudin selaku pengerusi koperasi memaklumkan tujuan penubuhan koperasi yang tercatat dalam Undang-undang Kecil Koperasi. Cikgu Zulkifli selaku setiausaha mengemukakan usul. Yang pertama ialah melatih ahli-ahli koperasi untuk memelihara dan menternak ayam telur untuk menambahkan hasil pendapatan koperasi. Yang kedua ialah koperasi dicadangkan menjual makanan dan barang-barang keperluan untuk kemudahan ahi-ahli koperasi, guru dan kakitangan sekolah. Yang ketiga ialah menubuhkan bilik bacaan. Tuan Pegawai Koperasi bersetuju dengan usul yang dikemukakan. Koperasi Sekolah Menengah Seri Kayangan bersetuju untuk menyertai pertandingan koperasi maju, berjaya dan baik pentadbirannya. Ahli Lembaga Pengarah Koperasi dan guru-guru bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan hasrat mereka. Sekolah Menengah Seri Kayangan mendapat tempat pertama dalam pertandingan. Guru-guru dan pelajar berasa gembira.
 
Sinopsis Bab demi Bab
Bab 1
Sekolah Menengah Seri Kayangan mempunyai empat buah bangunan yang bercat kuning. Sebuah bangunan satu tingkat terletak berhampiran dengan padang merupakan Kedai Koperasi Sekolah Menengah Seri Kayangan. Pelbagai barang kelengkapan sekolah ada dijual. Kedai koperasi itu dikendalikan oleh sebuah Lembaga Pengarah dan ditubuhkan kira-kira lima tahun yang lalu. Semasa seorang pembantu kedai tersebut bersama-sama tiga orang Ahli Lembaga Pengarah begitu sibuk melayani pembeli-pembeli, terdapat seorang pelajar yang cuba mengambil sebatang pen dan memasukkan ke dalam saku seluarnya. Hal ini disedari oleh Harun lalu menegur perbuatan itu. Pelajar berasa malu lalu terus membayar harga pen sebelum keluar. Tidak lama kemudian Encik Zulkifli datang dan memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengarah akan diadakan. Ahli lembaga pengarah yang terdiri daripada Harun, Swee Lan, dan Saridevi dan pembantu kedai koperasi iaitu Norlela dijemput hadir. Pegawai daripada Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri juga turut hadir.
 
Bab 2
 Mesyuarat Lembaga Pengarah buat pertama kalinya diadakan di Bilik Mesyuarat Sekolah Menengah Seri Kayangan. Tuan pengetua, Cikgu Syamsudin selaku Pengerusi koperasi memaklumkan tujuan penubuhan koperasi yang tercatat dalam Undang-undang Kecil Koperasi. Pertama, menerapkan budaya berjimat. Kedua, koperasi menyediakan kemudahan menjual barang kepada murid sekolah. Ketiga, koperasi juga membuat dan mengadakan alat kelengkapan persekolahan serta menternak atau memelihara  beberapa jenis binatang untuk kegunaan pelajaran ahli-ahli. Keempat, memberi sokongan kepada pengurusan sekolah bagi program yang memberi manfaat kepada murid. Proram bermanfaat yang dijalankan mesti mendapat persetujuan daripada Ketua Pendaftar. Pengetua menasihati guru dan pelajar supaya menjalankan koperasi mengikut dasar kerajaan iaitu bersih, cekap dan amanah. Tidak lama kemudian, Cikgu Zulkifli selaku setiasusaha mengemukakan usul, pertama melatih ahli-ahli koperasi memelihara dan menternak ayam telur untuk menambahkan hasil pendapatan koperasi. Kedua, selain menjual alat keperluan sekolah, dicadangkan juga menjual makanan dan barang-barang keperluan untuk kemudahan ahli-ahli koperasi, guru dan kakitangan sekolah. Ketiga, menubuhkan bilik bacaan. Usul tersebut tidak ada bangkangan. Lantaran itu, pengerusi menjemput Tuan Pegawai Koperasi untuk memberi pandangan. Tuan Pegawai Koperasi bersetuju dengan usul yang dikemukakan dan berharap tidak ada penyelewengan berlaku. Namun begitu, terdapat Ahli Lembaga Pengarah yang kurang berpuas hati.
 
Bab 3
Munir tidak berpuas hati Razali terpilih sebagai Penolong Setiausaha dan berpakat dengan Silvam dan Leong supaya tidak bekerjasama dengan Razali. Mereka masuk ke dalam kedai koperasi lantas mengganggu Razali yang pada ketika itu sedang menyediakan minit mesyuarat. Munir bertambah sakit hati apabila dilihatnya Ramlah membantu Razali. Ketiga-tiga sahabat itu melontar kata-kata sindiran yang tidak disenangi oleh Razali dan Ramlah. Suasana agak tegang sebentar. Hal ini disedari oleh Cikgu Robeah yang pada ketika itu sedang menghitung jumlah wang hasil jualan koperasi. Cikgu Robeah menasihati Razali dan Ramlah  supaya menegakkan kebenaran, jangan mempedulikan sindiran dan teruskan kerja-kerja yang baik. Razali dan Ramlah mengangguk tanda mengerti.
 
Bab 4
Munir, Silvam dan Leong tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai jurujual koperasi pada hari itu. Tempat mereka diganti oleh Ramlah, Harun dan Saridevi. Cikgu Zulkifli sangat kecewa dengan sikap pelajarnya dan akan menasihati mereka kelak. Razali kemudiannya menghulurkan sehelai kertas yang tertulis senarai barang yang perlu dibeli oleh Cikgu Zulkifli. Cikgu Zulkifli merungut kerana barang di kedai lama sangat mahal. Tiba-tiba Swee Lan menyampuk, ayahnya akan menawarkan barang-barang tersebut dengan harga yang murah. Cikgu Zulkifli kelihatan riang. Pada petang itu Cikgu Zulkifli bersama-sama dengan Razali dan Ramlah ke Kedai Aik Hong iaitu kedai kepunyaan ayah Swee Lan. Mereka dilayan baik oleh keluarga Swee Lan malah mereka dihidangkan dengan minuman. Encik Aik Hong mengotakan janjinya dengan menjual barang-barang yang diperlukan dengan harga yang murah. Dia juga memberi nasihat supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk maju.  Selepas itu  Cikgu Zulkifli, Razali dan Ramlah menuju ke Kedai Buku Indera Store. Di Kedai Buku Indera Store juga mereka disambut baik oleh Encik Aziz, tuan punya kedai. Mereka membeli buku rujukan, buku bimbingan dan panduan termasuk juga buku teks sastera tingkatan satu hingga lima. Novel dan majalah-majalah pengetahuan juga dibeli oleh mereka untuk dipasarkan di kedai koperasi. Mereka mendapat potongan sebanyak dua puluh peratus. Encik Aziz menasihati mereka supaya belajar berniaga betul-betul kerana anak-anak bumiputera sangat kurang dalam dunia perniagaan.
 
Bab 5
Munir, Silvam dan Leong cuba mengajak Ramlah, Swee Lan dan Saridewi menonton filem. Pelawaan mereka ditolak dengan baik oleh Ramlah kerana mereka merancang untuk belajar di rumah Saridevi. Munir terus menuduh Ramlah hendak ke rumah Razali malah menghina Razali dengan kata-kata yang tidak sepatutnya. Keesokan harinya Munir, Silvam dan Leong masuk ke kedai koperasi mengganggu Razali dan Ramlah yang sedang mengatur dan menyusun barang-barang di dalam kedai. Kekecohan berlaku apabila Munir cuba memberi sepucuk surat kepada Ramlah dan ditolak oleh Ramlah. Razali cuba menasihati Munir tetapi penghinaan yang diterimanya. Cikgu Zulkifli tiba sejurus selepas peristiwa itu dan dapat mengesan kekecohan yang berlaku. Beliau akan membuat tindakan. Cikgu Zukifli kemudian memaklumkan Penolong Pengarah Pembangunan Koperasi akan melawat koperasi mereka. Beliau mengajak Ramlah dan Razali membersihkan reban-reban ayam dan mengemas bilik bacaan.
 
Bab 6
Guru-guru dan pelajar sekolah bergotong royong mengemas bilik bacaan dan membersihkan reban-reban ayam, seperti biasa Munir menghilangkan diri. Ketiadaan Munir disedari oleh Cikgu Zulkifli. Cikgu Zulkifli mencari Munir di padang sekolah dan mendapati Munir sudah tidak bermain bola. Munir memberitahu gurunya itu dia dibuang padang. Cikgu Zulkifli menasihati Munir supaya bermain dengan baik dan jangan mengikut perasaan. Beliau juga menegur perlakuan Munir yang mengganggu Ramlah. Munir memberi alasan bahawa dia hanya olok-olok sahaja untuk memberi surat kepada Ramlah dan kandungan surat itu hanya memuji Ramlah kerana rajin menjalankan tugas di koperasi. Walau bagaimanapun, Cikgu Zulkifli menegaskan perlakuan itu tidak baik dan menasihati Munir supaya tidak mengulanginya lagi. Cikgu Zulkifli kemudiannya mengajak Munir bergotong royong bersama-sama dengan pelajar lain.
 
Bab 7
Encik Mansur, Tuan Penolong Pengarah Pembangunan Koperasi Bahagian Fungsi Sekolah-sekolah melawat koperasi Sekolah Menengah Seri Kayangan. Cikgu Syamsudin membawa Encik Mansur melawat koperasi, kawasan ternakan ayam dan bilik bacaan. Encik Mansur berpuas hati kerana buku-buku akaun dan penyata perbelanjaan disediakan dengan baik.  Kejayaan menternak ayam sehingga berjaya memungut dua ratus biji telur ayam dan mendapat hasil sebanyak RM25.00 juga menarik perhatian Encik Mansur. Begitu juga dengan kejayaan koperasi menyediakan bilik bacaan disertai dengan pelbagai majalah dan akhbar dengan peruntukan kira-kira RM30.00 sebulan. Dalam ucapannya sebelum pulang Encik Mansur berharap agar Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Sekolah Menengah Seri Kayangan terus menjalankan usaha murni ini, demi kebaikan bersama-sama disamping pelajar tidak mengabaikan pelajaran.
 
Bab 8
Cikgu Saiful mengajar mata pelajaran perdagangan dan menghabiskan pengajarannya tentang prinsip akaun. Beliau mengatakan pelajaran prinsip akaun amat berguna kepada Ahli Lembaga Pengarah Koperasi seperti Razali, Ramlah, Saridevi dan Munir. Seperti biasa Munir tidak memberi perhatian malah mengganggu rakannya yang lain. Perlakuan Munir disedari oleh Cikgu Saiful. Cikgu Saiful tidak membenarkan Munir pulang ke rumah sehingga dia menyalin catatan di papan hitam. Munir meradang dan duduk kembali meneruskan catatannya. Semua pelajar keluar dari kelas. Ramlah dan rakan-rakannya bercadang untuk berbincang tentang pelajaran Penyata Wang Tunai di rumah Razali.  Razali bersetuju dengan cadangan Ramlah.
 
Bab 9
Pada petang itu, Ramlah, Saridevi dan Rozita muncul di halaman rumah Razali. Mereka kemudian dibawa oleh Razali belajar di atas pondok kecil di atas permatang. Pondok itu beratapkan rumbia dan tidak berdinding, cuma terdapat pelenggar untuk tempat duduk. Mereka seronok belajar di situ sambil menjamah hidangan pisang goreng dan air oleh Mak Sopiah, ibu Razali.
 
Bab 10
Munir disuruh berjumpa dengan Cikgu Muniam, guru kaunseling. Cikgu Muniam menerima laporan daripada guru-guru  Munir mengganggu pelajar lain dalam kelas, ada juga yang mengadu Munir tidak membuat kerja sekolah. Pelajar-pelajar pula melaporkan tindakan Munir yang mengganggu pelajar perempuan. Cikgu Zulkifli juga mengadu yang Munir selalu tidak hadir bertugas di koperasi sekolah. Cikgu Muniam bersama-sama dengan Cikgu Zulkifli menasihati Munir. Munir mengaku dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
 
Bab 11
Kemewahan yang dikecap oleh petani di Kampung Serdang ialah ekoran daripada pembangunan yang berlaku. Ramai dalam kalangan mereka seolah-olah tenggelam dalam ‘kejutan budaya’. Mereka seolah-olah terkejut dengan kemewahan yang tiba-tiba mencurah ke daerah itu. Begitulah  yang berlaku kepada Munir, Leong dan Silvam menunggang motosikal masing-masing dengan penuh keangkuhan. Desingan motosikal menyebabkan kerbau yang ditutun oleh petani terkejut. Kerbau-kerbau  itu lari lintang-pukang masuk ke dalam hutan sambil teracak ekornya. Petani itu marah kepada mereka yang tidak bertimbang rasa itu. Pada suatu tempat yang dijanjikan mereka berhenti. Mereka merancang untuk melakukan sesuatu kepada Razali. Razali kemudiannya dibuli dan dipukul oleh kumpulan tersebut. Sejurus kemudian, Ramlah, Rozita dan Saridevi melalui jalan tersebut untuk ke rumah masing-masing terserempak dengan Razali yang kelihatan berdarah di bibirnya. Setelah mengetahui angkara Munir, Leong dan Silvam, mereka berasa marah dan bercadang untuk melaporkan peristiwa itu kepada Cikgu Zulkifli. Razali menghalang mereka daripada membuat laporan kerana hal itu akan membawa implikasi negatif.  
 
Bab 12
Ketika Razali sampai di rumah, Mak Sopiah ibu Razali melihat pakaian Razali yang kotor dan mulutnya yang berdarah. Mak Sopiah bertanya kepada Razali peristiwa  yang berlaku. Razali memberitahu dia dipukul. Tiba-tiba Pak Zakaria, ayah tiri Razali bertanya kepada Mak Piah dan terus memarahi Razali dengan kata-kata yang kasar. Mak Piah cuba mempertahankan anaknya. Petang itu Razali membawa buku-buku pelajarannya ke pondok di tengah sawah.  Di situ dia mendapat ketenangan, kerja-kerja itu dapat disiapkannya dengan baik. Ketika itu, Mak Sopiah telah siap memasak bengkang ubi kayu dan mengisikan kuih itu ke dalam piring. Kuih itu diletakkan di atas dulang bersama-sama dengan seteko kopi panas dan sebutir cawan. Dia mengangkat dulang, berjalan dengan hati-hati menuju ke tempat Razali belajar. Demikanlah kasih seorang ibu. Razali yang kehilangan kasih sayang seorang ayah kemudiannya bertanya kepada ibunya tentang ayahnya. Mak Piah tergamam dan meminta supaya Razali jangan bertanya tentang hal itu lagi.
 
Bab 13
Cikgu Zulkifli membawa Razali, Munir, Leong dan Silvam ke bilik pengetua kerana mendapat aduan bahawa mereka bergaduh. Munir mengaku setelah didesak oleh Cikgu Syamsuddin. Alasannya kerana Razali mengadu kepada Cikgu Muniam bahawa dia berbuat jahat dalam kelas dan mengganggu pelajar perempuan. Cikgu Zulkifli menafikan, aduan itu sebenarnya daripada guru-guru dan pengawas.  Silvam pula mengaku bahawa dia dan Leong disuruh oleh Munir. Munir, Silvam dan Leong kemudian dihukum rotan oleh pengetua sekolah.
 
Bab 14
Razali telah dipilih mengikuti kursus koperasi bersama-sama dengan wakil koperasi – koperasi sekolah di seluruh Malaysia. Razali akan berangkat ke Selangor. Pada suatu petang, dia dihantar oleh Mak Sopiah, Cikgu Zulkifli, Harun, Ramlah dan Swee Lan ke perhentian bas Kangar. Mak Sopiah dan Cikgu Zulkfili berpesan kepada Razali supaya pandai membawa diri di tempat orang.
 
Bab 15
Pagi 24 Julai, Razali bersama-sama dengan peserta-peserta kursus seluruh koperasi- sekolah di Malaysia memasuki bilik kursus di Maktab Kerjasama, Petaling Jaya. Tujuan kursus ini diadakan untuk mendedahkan generasi muda  yang bakal memimpin koperasi di negara  tentang betapa pentingnya penubuhan koperasi dan cara-cara mengurus atau mengendalikannya. Kemudian, mereka dibawa melawat bandar raya Kuala Lumpur. Pihak Jabatan Pembangunan Koperasi juga membawa mereka melawat Koperasi Anggota-anggota Polis Malaysia, Koperasi Bekas-bekas Perajurit Tanah Air. Mereka kagum melihat koperasi-koperasi tersebut begitu berjaya sehingga dapat mendirikan bangunannya sendiri.
 
Bab 16
Selama seminggu Razali meninggalkan rumah dan sekolahnya, kerinduan tersemai jua di hatinya. Pagi itu Razali disambut baik oleh rakan-rakannya. Dalam Mesyuarat Lembaga  Pengarah Koperasi, Razali diminta berucap untuk menyampaikan maklumat yang diperoleh semasa mengikuti kursus di Kuala Lumpur. Hasil daripada mesyuarat, Koperasi Sekolah Menengah Seri Kayangan bersetuju untuk menyertai pertandingan koperasi maju, berjaya dan baik pentadbirannya.
 
Bab 17
Ahli Lembaga Pengarah Koperasi dan guru-guru bekerja dengan besungguh-sungguh untuk merealisasikan hasrat mereka untuk memasuki pertandingan koperasi kecuali Munir, Leong dan Silvam sedang bermain bola di padang. Hal ini ditegur oleh pengetua sekolah dan meminta mereka turut sama membantu. Munir masuk ke dalam koperasi, dia kemudiannya ternampak kunci. Dia mengambil dan meneliti kunci tersebut. Tidak lama kemudian, dia meletakkan kunci tersebut di tempat yang asal. Sewaktu pulang dari sekolah, Munir mengajak Leong dan Silvam berhenti pada sebuah tembok. Munir menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Razali dan Ramlah yang semakin jauh dengannya. Munir bertekad untuk memusnahkan Razali. Silvam cuba menasihati Munir tetapi Munir tetap berkeras.
 
Bab 18
Satu lembaga hitam telah menyelongkar koperasi sekolah. Barang-barang bersepah di sana sini dan berlonggok-longgok di atas lantai.  Wang sebanyak RM52.00 telah hilang. Cikgu Zulkifli terkejut, tambahan pula pintu, tingkap, dinding, atap tidak ada yang pecah. Cikgu Zulkifli telah membuat laporan polis.
 
Bab 19
Razali dan Cikgu Zulkifli disiasat. Munir dan Silvam menyindir dan menuduh Razali.  Walau bagaimanapun, Cikgu Zulkilfli, Cikgu Robeah dan Cikgu Syamsudin tetap percayakan Razali. Cikgu Hassan bercadang untuk menyiasat dan memerangkap pencuri tersebut.
 
Bab 20
Munir dan Leong mengadu kepada Pak Zakaria, Razali yang telah menceroboh kedai koperasi sekolah. Ayah tiri Razali sangat marah dan menghalaunya keluar dari rumah. Mak Sopiah mempertahan Razali dan mengugut jika Razali dihalau, dia akan turut mengikuti Razali.
 
Bab 21
Razali berasa sedih kerana dihalau tanpa kesalahan yang nyata. Melalui pintu rumah, Mak Sopiah melihat Razali sedang termenung di pondok tengah sawah. Dia menuju ke pondok tersebut. Sekali lagi Razali bertanya tentang ayahnya. Mak Sopiah merayu agar Razali tidak bertanya lagi kerana itu adalah sejarah hitam dalam hidupnya.
 
Bab 22
Kedai koperasi sekolah digeledah lagi. Cikgu Zulkifli meminta kebenaran pengetua membuat pemeriksaan mengejut. Misteri berakhir, Munir didapati bersalah. Munir melakukan perkara itu kerana cemburu tentang hubungan Razali dengan Ramlah. Munir dilucut daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi serta merta.
 
Bab 23
Munir dihukum rotan sebanyak tiga kali  di hadapan perhimpunan di sekolah. Ibu bapa Munir membenarkan pihak sekolah menghukum Munir. Munir benar-benar insaf dan meminta maaf dengan Razali.
 
Bab 24
Munir ke rumah Razali menjelaskan perkara sebenar kepada Pak Zakaria dan Mak Sopiah. Dia meminta maaf. Munir juga menyatakan kebimbangan dia  digantung sekolah selama seminggu. Razali bersedia untuk membantu Munir. Munir berasa dia telah masuk ke dunia baru.
 
Bab 25
Tiga orang pengadil Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah dari ANGKASA datang mengadili Koperasi Sekolah Menengah Seri Kayangan. Mereka masuk ke kedai koperasi, meninjau projek ternakan ayam telur dan berkunjung ke bilik bacaan. Tidak lama kemudian, satu perhimpunan diadakan. Turut hadir Tuan Pengarah Jabatan  Pembangunan Koperasi Negeri, termasuk beberapa orang ibu bapa yang dijemput khas, terdiri daripada ahli-ahli keluarga Lembaga Pengarah Koperasi. Tuan Pengarah mengumumkan Sekolah Menengah Seri Kayangan mendapat tempat pertama atau johan. Guru-guru dan pelajar berasa gembira. Pada akhir majlis Cikgu Syamsudin dapat mengesan ada rahsia antara Pak Zakaria, Pak Ramli dan Mak Sopiah.
 
Bab 26
Akhirnya Razali dapat berjumpa dengan ayah sebenarnya iaitu Pak Ramli. Ramlah pula merupakan adik tirinya. Kejayaan koperasi Sekolah Menengah Seri Kayangan berjaya menemukan anak dengan ayahnya.
 

Tema
Novel ini bertemakan perjuangan generasi muda untuk menubuhkan kedai koperasi di sekolah. Tuan pengetua, Cikgu Syamsudin selaku Pengerusi koperasi memaklumkan tujuan penubuhan koperasi. Cikgu Zulkifli selaku setiausaha telah mengemukakan beberapa usul untuk menjayakan kedai koperasi. Cikgu Zulkifli bersama-sama dengan murid bergotong-royong untuk mengemas bilik bacaan dan membersihkan reban ayam hasil kedai koperasi. Tuan Penolong Pengarah Pembangunan Koperasi Bahagian Fungsi Sekolah-sekolah melawat Koperasi Sekolah Menengah Seri Kayangan. Koperasi Sekolah Menengah Seri Kayangan bersetuju untuk menyertai pertandingan koperasi maju, berjaya dan baik pentadbirannya. Ahli Lembaga Pengarah Koperasi dan guru-guru bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan hasrat mereka. Akhirnya, hasil daripada usaha guru-guru dan murid-murid, Koperasi Sekolah Menengah Seri Kayangan mendapat tempat pertama.
 

Persoalan
Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam novel ini, antaranya:
      i.        Persoalan ekonomi
Contoh: Kemajuan ekonomi dalam kalangan penduduk Kampung Serdang. Kesedaran tentang pentingnya semangat usahawan dalam kalangan generasi muda. Penubuhan koperasi sekolah dapat melatih pelajar dalam bidang perniagaan pada peringkat awal. Sudah ada orang Melayu yang berjaya dalam dunia perniagaan. Contohnya Encik Aziz, pemilik Kedai Buku Indera Store. Kesungguhan orang Cina dalam dunia perniagaan. Encik Aik mengatakan mesti bersungguh-sungguh bekerja seperti orang Jepun untuk maju.
    ii.        Persoalan kasih sayang seorang ibu
Contoh: Kasih sayang seorang ibu kepada anak dapat dikesan melalui watak Mak Sopiah. Mak Sopiah sentiasa menjaga kebajikan Razali. Mak Sopiah sentiasa menghantar minuman petang ke tempat Razali belajar dan mempertahan Razali daripada kemarahan bapa tirinya.
   iii.        Persoalan hubungan persahabatan yang positif
Contoh: Ramlah, Rozita dan Saridevi    pernah ke rumah Razali untuk belajar. Razali berserta sahabatnya yang lain juga turut bersama-sama bergotong royong bagi menjayakan koperasi sekolah.
Contoh:  Razali sudi membantu Munir sewaktu Munir digantung sekolah selama seminggu walaupun sebelum ini mereka bermusuhan.
   iv.        Persoalan semangat kerjasama
Contoh: Semangat kerjasama antara pengetua, guru-guru, pelajar, Encik Aik Hong dan Encik Aziz  untuk menjayakan koperasi sekolah.
    v.        Persoalan ketabahan
Contoh: Ketabahan Razali menghadapi gangguan Munir, Leong dan Silvam.
Contoh: Ketabahan Razali berdepan dengan bapa tirinya yang menghalaunya dari rumah tanpa kesalahan yang nyata.
Contoh: Ketabahan pelajar dan guru-guru Sekolah Menengah Seri Kayangan untuk menjayakan koperasi sekolah.
   vi.        Persoalan kekeluargaan
Contoh:  Hubungan kekeluargaan yang positif antara Mak Sopiah dan Razali.
 vii.        Persoalan kepimpinan
Contoh: Pengetua sekolah sentiasa memberi sokongan kepada guru dan pelajar.
dalam menjayakan koperasi sekolah.
viii.        Persoalan gejala Sosial
Contoh: Pergaduhan dalam kalangan pelajar sekolah sehingga membawa kepada kecederaan.



 Forwarded from http://www.bmspm.my/v1/index.php/en/nota-novel-tg1-2015-2020/nota-novel-sejambak-bakti

No comments:

Post a Comment