CONTENTS

Tuesday, 20 February 2018

Langkah-langkah untuk mendidik masyarakat agar menghargai sumber air.



          Berdasarkan kajian saintifik telah menunjukkan bahawa, manusia boleh hidup hingga lapan hari jikalau tanpa makanan, sebaliknya manusia akan mati dalam tempoh 48 jam jikalau tiada air. Hal demikian terbukti kerana berdasarkan sistem biologi manusia pun, air terdiri 80 peratus daripada keseluruhan berat badan seseorang manusia. Selain itu, air turut dikaitkan dengan nilai-nilai sentimental dalam kehidupan seperti keindahan sungai, lautan yang terhampar malahan di dalam syurga juga sentasa dikaitkan dengan air yakni keenakan air telaga Kautsar. Sekalipun air telah terbukti amat penting dalam tamadun manusia, namun belakangan ini manusia semakin jahil akan kepentingan air. Di mana-mana jua sungai kian tercemar, permukaan laut semakin kotor dan krisis bekalan air dijangka akan berlaku dalam tempoh satu abad dari sekarang. Alangkah jahilnya manusia apabila sumber yang teramat penting kepada kehidupan telah dirosakkan kerana sikap rakus atau tiada kepedulian. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum kudis menjadi tokak, eloklah masyarakat hari ini diberikan pendidikan untuk menghargai sumber warisan iaitu air.
          Pendidikan ialah aspek yang paling prima untuk mendidik masyarakat menghargai air. Mereka perlu dididik untuk mengenali pencipta (khaliq). Manusia yang mengenali Tuhan sudah pasti tahu bersyukur. Inilah nilai murni yang perlu dipegang kukuh sejajar dengan maksud Firman Allah, “Bersyukurlah! Andai kamu bersyukur nescaya aku tambahi nikmatmu dan sebaliknya apabila engkau kufur nescaya azab-Ku terhadapmu teramatlah pedih”. Belakangan ini akibat terbebat dengan tabiat tidak tahu  bersyukur, manusia tidak pernah tahu bahawa nikmat Allah yang amat berharga itu telah dicemari. Manusia telah hilang pertimbangan dan budi bicara dan sombong akibat tidak takut akan musibah dan jauh sekali mengenali akan dosa dan pahala.
          Generasi yang paling awal yang harus menerima pendidikan agar menghargai sumber alam ialah generasi kanak-kanak. Seawal usia setahun anak-anak harus dididik untuk menghargai harta benda. Pendidikan yang paling teras adalah yang bermula di rumah. Asas pendidikan yang kukuh hendaklah dimantapkan di sekolah. Para guru dengan segala kebijaksanaan haruslah menanamkan nilai-nilai murni seperti bersyukur, berkasih sayang dan jimat cermat agar generasi pelajar tahu akan nilai anugerah alam khususnya air. Pelbagai program mencintai alam sekitar boleh dimasukkan ke dalam program luar sekolah dan aktiviti kokurikulum. Apabila pelajar sentiasa mesra kepada alam sekitar nescaya mereka teruja untuk menjaganya. Sesungguhnya, inilah generasi yang diharapkan dapat memulihkan semula segala sumber alam yang semakin tercemar terutama sekali sumber air.
          Golongan sasar yang lebih penting ialah masyarakat umum. Golongan ini perlu diajak bersama-sama untuk menyedari betapa air amatlah penting kepada kesinambungan nyawa rakyat Malaysia. Krisis air dan kegiatan merosakkan sumbernya banyak dilakukan oleh golongan ini. Kalangan peniaga dan industri merosakkan sumber air dengan cara mengalirkan bahan-bahan sisa industri ke dalam sungai. Selain itu, masyarakat awam pula masih banyak yang tiada kesedaran tentang kebersihan alam sekitar. Mereka mencampakkan sampah dengan sesuka hati dan termasuk melupuskannya ke dalam sungai. Tanpa kesedaran yang mendalam daripada kelompok sasar ini, seharusnya kelestarian air bersih pasti akan terancam. Oleh itu, sistem pendidikan, kempen dan tindakan tegas hendaklah dilaksanakan secara berterusan untuk berdepan dengan kelompok sasar ini.
          Inisiatif yang seterusnya ialah tindakan proaktif daripada pihak kerajaan. Pelbagai prakarsa harus dijalankan oleh pihak berkuasa sebagai respon kepada pelbagai amaran tentang krisis air yang bakal dihadapi. Barangkali masa telah tiba untuk Malaysia bertindak menjadikan sungai-sungai di negara ini sebagai produk pelancongan seperti yang terdapat di negara-negara maju. Kegiatan perniagaan yang mesra sungai seperti di San Francisco Waterfront, North Vancouver Waterfront dan Auckland Waterfront harus dicontohi. Sementara itu, inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan negeri Melaka yang mewujudkan River Cruise sebagai produk pelancongan hendaklah diambil iktibar oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain juga. Ingatlah pelbagai usaha boleh dijalankan selagi ada ikhtiar kerana akal tidak sekali tiba ikhtiar tidak sekali datang.
          Konklusinya, semua isi alam yang dianugerahi Allah adalah untuk manfaat manusia yang bijak menghargainya. Alangkah jahilnya kita apabila sumber alam yang kaya dimusnahkan begitu sahaja sehingga kita berhadapan dengan masa depan yang kabur. Janganlah disebabkan mengejar keuntungan peribadi untuk jangka pendek kita mengaburkan masa depan generasi akan datang. Fahamilah akan amaran Allah dalam sepotong ayat al Quran, Surah Ar Rom yang bermaksud, “Segala kerosakan yang berlaku sama ada di laut mahupun di darat adalah akibat perbuatan tangan manusia yang durjana”.




No comments:

Post a Comment