Usaha kerajaan
menarik pelabur-pelabur asing ke negara kita memang wajar kerana pelaburan
asing memberikan pelbagai faedah kepada rakyat dan negara.
Bincangkan.
Pelaburan asing merupakan strategi
lautan biru dalam memperkasakan sektor ekonomi kepada sesebuah negara. Dalam
konteks pasaran, pelaburan asing bermaksud sesebuah kerajaan atau konglomerat
cuba menjualkan teknologi, kepakaran dan produk menjangkau ke pasaran global. Pada
era globalisasi kini, pelaburan asing menjadi sebahagian daripada insentif
ekonomi berimpak besar untuk melonjakkan pendapatan syarikat mahupun negara.
Sama seperti negara-negara di dunia yang lain, Malaysia turut tidak ketinggalan
sebagai pemain ekonomi industri yang sedang berkembang dengan membuka dasar
pelaburan luar di samping turut menggalakkan pelabur-pelabur tempatan untuk
mengembangkan sayap perniagaan di lapangan antarabangsa. Hal demikian telah
menunjukkan bahawa pelaburan asing sebagai suatu kemestian jikalau sesebuah
negara mahu bersaing di pentas ekonomi antarabangsa. Pelaburan asing yang
bersifat rentas negara yang sedang berkembang pesat pada hari ini adalah
dipengaruhi oleh beberapa faktor sama ada faktor dalaman mahupun luaran.
Keamanan
dan keharmonian dalam sesebuah negara menjadi bonus untuk negara tersebut
mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Kini dalam suatu nada
untuk mewujudkan kesamarataan sejagat, kestabilan politik dan keamanan di
sesebuah negara menjadi agenda penting. Hal tersebut akan mendorong
syarikat-syarikat besar di peringkat antarabangsa untuk memperkembang polisi
pelaburan mereka di rantau lain. Dengan hal yang demikian, setiap negara mula
menggerakkan inisiatif agar iklim politik dan keamanan domestik sentiasa
terkawal. Dengan keyakinan tersebutlah, syarikat-syarikat ternama antarabangsa
seperti Apple, Panasonic, IBM, SAMSUNG dan sebagainya sudah wujud dalam lingkungan
geopolitik antarabangsa. Asas yang utama daripada minat pelabur tersebut adalah
atas faktor keselamatan dan iklim pelaburan yang menjamin keuntungan.
Polisi
yang telus dan mesra pelabur yang diamalkan oleh sesebuah kerajaan turut
menyokong pelaburan asing. Kebanyakan negara Dunia Ketiga khususnya mula
membuka mata kepada pelaburan asing sebagai suatu strategi untuk menyediakan
peluang pekerjaan kepada rakyat mereka. Hal demikian telah membuka laluan
kepada berkembangnya pasaran luar oleh negara-negara industri seperti Jepun,
Amerika Syarikat dan negara-negara EU. Di Asia Tenggara sendiri, polisi yang
dilaksanakan oleh negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand telah
membuka peluang pekerjaan yang banyak di samping berjaya memacukan ekonomi
domestik. Pada hari ini, industri seperti automobil yang dikuasai oleh Jepun
telah mula membuka pelaburan mereka terutama di Indonesia dan Thailand. Syarikat-syarikat automotif ternama Jepun
seperti Toyota, Honda, Isuzu dan Nissan pada hari ini telah mula memindahkan
teknologi mereka terutama ke Indonesia dan Thailand atas dasar ketelusan negara
terbabit dalam polisi pelaburan asing
mereka ibarat sambil menyelam minum air.
Pasaran
tempatan di sesebuah negara turut menjadi insentif utama kemasukan pelaburan
asing. Matlamat utama pelaburan adalah untuk memperluas pasaran produk.
Oleh itu, peluang terbaik kepada pelabur adalah dengan terus menanam modal di
negara terbabit. Selain memperoleh bekalan buruh tempatan yang murah, antara 20
hingga 30 peratus produk dapat dipasarkan untuk kegunaan domestik. Sementara
itu, bagi kebanyakan Negara Dunia Ketiga, pertumbuhan kadar kelahiran tidak
pernah disekat. Sebagai contoh, negara-negara seperti Indonesia 280 juta,
Thailand 80 juta, Pakistan 196 juta sudah tentu mempunyai potensi pasaran yang
terlalu besar. Fenomena
tersebut telah memberikan
insentif besar kepada kemajuan pasaran domestik bak kata peribahasa banyak
air ikan tidak mati.
Pada
hari ini dasar buruh di peringkat global menjadi semakin kompleks dengan fenomena
pergerakan migrasi dan pendatang. Gelombang perpindahan dari negara
miskin ke negara-negara maju dan Negara Dunia Ketiga menyebabkan peningkatan
buruh asing di kebanyakan negara semakin sukar dikawal. Fenomena yang sama
jelas terjadi kepada Malaysia apabila limpahan buruh asing telah mencecah 6.8
juta orang. Limpahan tersebut telah
memaksa kerajaan lebih berlembut atas dasar kemanusiaan untuk membuka peluang
pekerjaan kepada pekerja asing untuk berkhidmat dalam sektor swasta dan
syarikat multinasional. Lama-kelamaan dasar tersebut sudah menjadi suatu polisi
pula apabila lebih banyak pelabur asing yang berminat untuk melabur. Hal
demikian samalah seperti kata peribahasa, di mana-mana ada air bertakung di
situlah ikan bernaung.
Selain
itu, kemasukan pelabur asing turut disokong oleh dasar pelaburan kebangsaan
yang diamalkan oleh kebanyakan negara.Apabila dirujuk kepada Malaysia,
kerajaan melalui MITI sentiasa menghantar misi kempen galakan pelaburan luar ke
negara-negara maju. Langkah tersebut yang merupakan strategi serampang dua mata
yang memberikan fokus kepada penyediaan peluang pekerjaan dan pemindahan
teknologi menyebabkan pelabur luar bagai
pucuk dicita ulam mendatang, orang mengantuk disorongkan bantal. Kemasukan
pelabur asing juga turut menerima pelbagai insentif daripada pihak kerajaan
seperti zon perindustrian bebas, kemudahan prasarana, jaminan pinjaman bank dan
keselamatan operasi yang terjamin. Di samping itu, negara turut menerima
tempias positif apabila berlaku pemindahan teknologi kepada anak-anak tempatan
yang menjadi sebahagian daripada dasar melahirkan lebih ramai tenaga
profesional tempatan.
Tuntasnya, dalam era yang dikawal
oleh polisi global kini, sesuatu polisi hendaklah dirancang untuk mewujudkan situasi menang menang kepada
semua pihak yang berkepentingan. Dasar perlindungan dan dasar monopoli sudah
tidak relevan lagi. Hal yang sama sudah
tentu berlaku dalam dasar pelaburan antara negara kerana ekonomi menjadi tangan
ghaib yang menentukan kedudukan politik dan sosial di sesebuah negara.
Sesungguhnya, polisi pelaburan asing yang diamalkan oleh Malaysia pada masa ini
adalah tepat juga.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete